Projek Young Engineer FKM: Think Like An Engineer – The 3D Bridge Design Challenge

Tarikh: 28 Disember 2025, Ahad.
Masa: 8.30 pagi – 4.00 petang
Platform: Bersemuka
Lokasi: Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun
Anjuran: Team Young Engineer, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTMCT Kampus Bukit Besi
Dengan kerjasama: Perpustakaan Cendekiawan, UiTMCT Kampus Dungun
Penyertaan terbuka: 21 orang pelajar sekolah (7 hingga 12 tahun)
Penceramah: 3 orang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTMCT Kampus Bukit Besi

Pendaftaran program.

Dungun, 28 Disember 2025 – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi dengan kerjasama Perpustakaan Cendekiawan telah menganjurkan Projek Young Engineer FKM: Think Like An Engineer – The 3D Bridge Design Challenge bertempat di Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT.

Program pemindahan ilmu ini disertai seramai 21 orang pelajar sekolah rendah (7 hingga 12 tahun) sekitar Daerah Dungun dan kebanyakkan daripada mereka merupakan anak-anak staf UiTMCT. Program ini bertujuan memperkenalkan asas kejuruteraan secara awal melalui pendekatan santai, interaktif dan pembelajaran berasaskan projek. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep asas kejuruteraan struktur, kreativiti reka bentuk serta penyelesaian masalah secara praktikal.

Melalui aktiviti reka bentuk jambatan 3D menggunakan pen 3D, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan dicabar untuk membina jambatan berdasarkan kriteria kekuatan, kestabilan, kreativiti dan kecekapan penggunaan bahan. Aktiviti ini turut menggalakkan kerjasama berpasukan, komunikasi dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.

Program ini berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik yang disampaikan oleh Cik Asmahani Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP), bertempat di Sudut AZKA@Library Community Engagement.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya menjadi platform pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna serta berkesan dalam menyemai minat awal pelajar terhadap bidang STEM. Program ini mendapat sambutan yang baik dari kalangan peserta dan ibu bapa peserta bagi memenuhi masa cuti sekolah dengan pengisian yang bermanfaat. Kerjasama strategik antara FKM UiTMCT Kampus Bukit Besi dan Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun turut membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan komuniti melalui pembelajaran di luar bilik darjah.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply