Program Ihya’ Ramadhan UiTM Cawangan Terengganu

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) sentiasa komited dalam mengadakan program pembudayaan ilmu yang bermanfaat dengan mensasarkan warga UiTMCT serta komuniti setempat. Justeru, bersempena Ramadhan 2024, Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT telah menganjurkan Program Ihya’ Ramadhan UiTM Cawangan Terengganu pada 26 Mac 2024, Selasa yang lalu. Program ini dijayakan dengan kerjasama:

  • Unit Hal Ehwal Islam & Pusat Hidayah
  • Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
  • Kelab Akademik
  • Geng Bekwoh UiTMCT
  • Pewani UiTMCT

Melalui  Program Ihya’ Ramadhan UiTM Terengganu tersebut, beberapa acara telah dilaksanakan iaitu:-

  • Program bedah buku bersama penulis
  • Ceramah cakna dan pelancaran Tabung Palestin
  • Gotong-royong memasak bubur lambuk dan juadah berbuka puasa
  • Majlis Iftar Jamaie UiTM Terengganu

Program kerjasama yang diadakan ini telah berlangsung  seawal 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong menyediakan bubur lambuk dan juadah berbuka puasa di Perkarangan Pusat Hidayah UiTMCT, manakala pada masa yang sama, bertempat di Sudut AZKA@ Library Community Engagement (LCE) Perpustakaan Cendekiawan berlangsungnya Program Bedah Buku bersama Penulis UiTMCT dengan kupasan buku bertajuk: Perihal Solat oleh Dr Abd Wahab Md Ali, Pensyarah ACIS UiTMCT. Turut diadakan ialah Ceramah Cakna Palestin serta Pelancaran Tabung Palestin oleh Ustaz Alif Mahari, Pengerusi Yayasan Al-Azhar Care. Dijalankan melalui platform bersemuka dan langsung di platform Facebook, program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penyertaan  lebih 400 peserta dari warga universiti dan komuniti jemputan yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah sekitar Daerah Dungun.

Antara objektif penganjuran program ini ialah:-

  • Mengimarahkan bulan ramadhan dengan pengisian berkenaan program pembudayaan ilmu di kalangan warga UiTMCT dan komuniti jemputan
  • Melancarkan tabung kutipan Palestin sebagai sumbangan dari warga UiTMCT untuk disalurkan kepada warga Palestin melalui Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Alumni Azhar Mesir Malaysia atau dikenali sebagai Al-Azhar Care.
  • Menyampaikan agihan bubur lambuk sebagai perkongsian rezeki yang disediakan secara bergotong-royong kepada warga UiTMCT dan komuniti jemputan
  • Memenuhi PI UiTMCT: PI 075 – Number of University Social Responsibility programmes (USR).

Program di Sudut AZKA@ Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT berakhir jam 1.00 tengah hari dengan sesi agihan bubur lambuk kepada komuniti jemputan yang hadir dan ianya disampaikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Menjalankan Tugas Rektor UiTMCT. Turut hadir Prof.Madya Dr. Sharifah Fauziah Draman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, dan Encik Shahrol Nizam Johol, Timbalan Ketua Pustakawan.

Sesi agihan bubur lambuk untuk warga kampus dan pekerja kontrak bermula jam 3.30 petang di perkarangan Pusat Hidayah. Program Ihya Ramadhan UiTM Cawangan Terengganu 2024 melabuh tirai dengan Majlis Iftar Jamaie warga kampus bersama keluarga pada sebelah malamnya.

Secara keseluruhannya program ini telah berjaya diadakan dengan baik dan mendapat sambutan dan kerjasama semua warga kampus. Amatlah diharapkan dengan pelaksanaan program seperti ini dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama warga kampus khususnya kakitangan dan juga komuniti setempat, di samping mengimarahkan bulan Ramadhan dengan aktiviti ilmu yang bermanfaat.

Semoga ianya dapat diteruskan pada masa akan datang. Sekalung penghargaan ikhlas dari hati diucapkan kepada semua yang terlibat.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply