Program 10K Fun Walk Bersama Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang

Bertempat di pekarangan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Permatang Pauh, telah berlangsung Program 10K Fun Walk Bersama Rektor UiTMCPP pada 17 November 2023. Program anjuran PTAR UiTMCPP dengan kerjasama PEWANI UiTMCPP ini telah disertai oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan akademik dan kakitangan pentadbiran UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program Fun Walk ini diadakan sempena bulan Inovasi dan Kualiti UiTM Cawangan Pulau Pinang 2023 dan sambutan bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pinktober).

Seawal 8.30 pagi, program telah dimulakan dengan aktiviti senamrobik untuk memanaskan badan yang dikendalikan oleh Encik Mohd Saiful Effendy Mohd Shukeri, Pembantu Pustakawan Kanan dan diikuti dengan acara pelepasan para peserta Fun Walk yang dilaksanakan oleh Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy bin Razali, Rektor UiTMCPP bersama Tuan Haji Ahmad Faizar bin Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR UiTMCPP. Rektor UiTMCPP juga tidak ketinggalan untuk sama-sama berjalan dengan peserta diiringi oleh Timbalan Ketua Pustakawan di sekitar kawasan perumahan di luar Kampus Permatang Pauh.

Program Fun Walk ini turut dimeriahkan dengan acara memasak mi segera oleh Encik Muhamad Ismail Mohd Ali, Pembantu Pustakawan Kanan dan dibantu oleh Ahli Jawatankuasa PEWANI UiTMCPP untuk dijamu kepada para peserta. Sebelum bersurai, 6 hadiah misteri yang menjadi menjadi rebutan peserta telah disampaikan oleh Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy bin Razali, Rektor UiTMCPP kepada peserta yang bertuah.

Avatar photo
PTAR Kampus Permatang Pauh

Leave a Reply