Bicara Pakar: Taklimat Kesihatan – Pendidikan Kesihatan HIV/AIDS

Sempena Karnival Perpustakaan v2.0 UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) 2023 yang diadakan pada 23 hingga 24 Oktober 2023, telah diadakan satu program bicara pakar melalui perkongsian ilmu bersama Pegawai Kesihatan dari Jabatan Kesihatan Daerah Dungun bertajuk Pendidikan Kesihatan-HIV/AIDS. Dianjurkan oleh Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu kampus Dungun pada 24 Oktober 2023, Selasa, bertempat di Sudut AZKA@Library Community Engagement, sesi bicara pakar ini telah disampai oleh Dr. Muhammad Abdullah Nordin, Pegawai Kesihatan Daerah Dungun. Sesi taklimat ini dikendalikan oleh Puan Ayuzawahie Amran, Pembantu Pustakawan Kanan, sebagai pengacara majlis.

Sesi taklimat ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pendidikan kesihatan berkaitan HIV/AIDS kepada warga UiTMCT dan memberi fokus kepada diskriminasi dan stigma masyarakat kepada pesakit, di samping mengimarahkan sudut AZKA@ Library Community Engagement.

Penceramah turut berkongsi mengenai kaedah pencegahan yang perlu diketahui dan diambil berat supaya tidak terjerumus dalam masalah sosial yang boleh menjejaskan kualiti hidup seharian. Sambutan para peserta dalam sesi soal jawab bersama penceramah juga dilihat sangat baik.

Program bicara pakar selama sejam bermula 2.30 petang hingga 3.30 petang ini telah disertai seramai 54 orang warga UiTMCT. Secara keseluruhannya program bicara pakar seperti ini diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir dalam meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai penyakit HIV/AIDS.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply