Program CSR Vitamin llmu Bersama PTA: Pusat Pemulihan Akhlak Machang

MACHANG, 22 Julai 2023 – Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Machang dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Persatuan Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) telah mengadakan Program CSR Vitamin llmu Bersama PTA: Pusat Pemulihan Akhlak Machang (PPAM) bertempat di Dewan Dato’ Hj. Zulkifli Omar bermula jam 8:30 pagi sehingga 1:00 tengah hari.

Program khidmat masyarakat ini merupakan special project pelajar latihan industri PTA sesi Mac-Julai 2023 bagi memenuhi keperluan kursus mereka. Program ini merupakan satu inisiatif Perpustakaan Tengku Anis (PTA) dalam pembudayaan ilmu dan perkongsian pengetahuan sekaligus dapat memberi maklumat perkhidmatan serta kemudahan baru perpustakaan kepada semua warga dan penghuni di PPAM khususnya dalam pencarian maklumat dengan berkesan.

Ini bagi meningkatkan lagi ketampakan PTA dalam aktiviti komuniti serta perkukuhkan lagi hubungan antara Universiti awam khususnya warga perpustakaan UiTMCK dan warga PPAM. Selain itu dapat mendedahkan seluruh warga PPAM dengan pelbagai maklumat terkini dalam galakan membaca dan sekaligus dapat menimba ilmu sepanjang tempoh tahanan.

Program bermula dengan majlis pembukaan bertempat di Dewan Dato’ Hj. Zulkifli Omar dan dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah PPAM iaitu PKK Mohd Nasir Yusof. Perpustakaan Tengku Anis (PTA) telah menjalankan program wakaf buku untuk disumbangkan kepada PPAM yang bermula pada 2 sehingga 18 Julai 2023 dan kami telah menerima sebanyak 213 naskhah buku sumbangan daripada penyumbang. Penyerahan simbolik bagi wakaf buku telah dilakukan oleh Puan Alina Hussein, Timbalan Ketua Pustakawan PTA sejurus selepas ucapan pembukaan tersebut.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan bagi program ini adalah projek library make-over, aktiviti mewarna bersama anak-anak Tadika Perpaduan PPAM, demo membuat roti paung oleh Persatuan Isteri, Anak & Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) dan aktiviti kraftangan.

  • Projek library make-over

Projek make-over ini telah dijalankan awal daripada tarikh program berlangsung dan kerja-kerja ubahsuai ini bermula 16 Julai sehingga 20 Julai 2023. Kerja ubahsuai ini bertempat di Perpustakaan Penghuni PPAM yang dikendalikan oleh 8 orang staf lelaki PTA sahaja disebabkan oleh arahan daripada Pengarah PPAM untuk mengehadkan penglibatan staf yang terlalu ramai dan tidak melibatkan staf wanita. Projek ini bertujuan untuk menambahbaik suasana mini perpustakaan mengikut perkembangan terkini supaya penghuni tidak ketinggalan dan membaca dalam keadaan yang selesa. Antara kerja-kerja bagi projek make-over ini adalah mengemas, menyusun atur, melabel bahan-bahan di rak, menghias, mengecat dan menambah ruangan santai. PTA juga membekalkan pelbagai koleksi bahan kepada warga dan penghuni PPAM melalui program wakaf buku yang berlangsung bermula 2 sehingga 18 Julai 2023.

Gambar perpustakaan sebelum kerja-kerja ubahsuai

Gambar semasa kerja-kerja ubahsuai dijalankan

Gambar selepas kerja-kerja ubahsuai siap dijalankan dan penyerahan buku sumbangan

  • Aktiviti mewarna totebag dan roda impian

Aktiviti mewarna totebag bersama anak-anak Tadika Perpaduan PPAM ini telah dijalankan di ruangan legar rumah PPAM yang diketuai oleh Puan Nordelina Zulkarnain, Pustakawan Kanan PTA dan dibantu oleh pelajar latihan industri serta pelajar Skim Khidmat Pelajar (SKP) PTA. Bagi mengisi masa yang ada, AJK program dan aktiviti juga mengadakan aktiviti tambahan seperti roda impian untuk menguji minda dan juga senaman ringkas.

  • Demo membuat roti paung

PPAM turut dikenali dengan penghasilan dan pembuatan roti paung yang enak sehingga mempunyai gerai jualan tersendiri. Dengan kerjasama PERSIAP, PTA dan peserta yang hadir mengambil peluang ini untuk mempelajari cara-cara untuk membuat roti paung. Demo membuat roti paung ini dikendalikan oleh ahli PERSIAP dan peserta yang terlibat berpeluang untuk membuat roti tersebut dan menikmati hasil buatan mereka secara langsung.

  • Aktiviti kraftangan

Aktiviti kraftangan ini dimulai dengan demo pembuatan kraftangan yang diketuai oleh Puan Ruzila Ab Halim, Pengerusi PERSIAP PPA Cawangan Machang. Puan Ruzila menunjukkan cara untuk membuat kraftangan daripada bahan plastik terpakai kepada peserta. Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dan mereka akan membuat kraftangan daripada bahan plastik tersebut mengikuti kreativiti mereka sendiri. Penghasilan kraftangan yang paling kreatif akan dipilih sebagai pemenang.

Program ini diakhiri dengan majlis penutup bertempat di Dewan Dato’ Hj. Zulkifli Omar setelah kesemua aktiviti-aktiviti selesai dijalankan. Majlis penutup dimulai dengan ucapan daripada Pengarah PPAM iaitu PKK Mohd Nasir Yusof dan disusuli dengan majlis penyampaian cenderahati kepada pihak PERSIAP dan PPAM daripada pihak PTA yang diwakili oleh Puan Alina Hussein, Timbalan Ketua Pustakawan PTA. Majlis ini diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang bagi setiap aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

Program khidmat masyarakat ini telah berjalan dengan jayanya berkat komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan daripada kedua belah pihak. Pihak PTA mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PPAM dan PERSIAP kerana sudi untuk berkerjasama dengan PTA. Semoga kerjasama ini akan dapat diteruskan di masa akan datang.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply