Bicara Pakar Bersama Perpustakaan Negara Malaysia

Sempena Karnival Perpustakaan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) 2023 yang diadakan pada 20 hingga 22 Jun 2023, telah diadakan satu program perkongsian ilmu iaitu Bicara Pakar bersama Perpustakaan Negara Malaysia bertajuk Penerbitan: Prosedur Sebelum, Semasa, Selepas. Program anjuran Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTMCT Sesi 2022/2023 dan Unit Penerbitan & Penyelidikan Mahasiswa ini telah berlangsung pada 21 Jun 2023, Rabu, jam 10.00 pagi melalui platform atas talian Webex Meeting.

Objektif utama penganjuran aktiviti ini adalah untuk memberi panduan kepada warga UiTM berkenaan kaedah dan prosedur yang perlu dipatuhi sebelum, semasa, dan selepas mendaftar penerbitan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk mendapatkan ISBN/ISSN. Sesi bicara pakar yang berlangsung selama satu jam ini telah dikendalikan oleh Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan UiTMCT sebagai moderator program, manakala pengisian program pula dibentangkan dengan jelas dan terperinci oleh Puan Maulidiah Abd Rahman, Penolong Pengarah, Pusat Bibliografi Negara PNM, selaku penceramah jemputan.

Keseluruhan program ini telah mendapat sambutan yang baik di kalangan warga UiTM Malaysia. Seramai 341 orang penonton telah menghadiri sesi perkongsian ilmu ini dan rata-ratanya berpuas hati dengan memberi maklumbalas yang positif dalam penilaian yang telah diedarkan. Semoga program bersama pakar seperti ini telah dapat memberi manfaat kepada semua.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply