Bagi mempelbagaikan fungsi perpustakaan yang tidak hanya menyediakan maklumat dan perkhidmatan, Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) telah mengadakan Program Sharing Rizq @ Library sebagai menghargai pengunjung perpustakaan. Program ini merupakan sebuah inisiatif perkongsian rezeki dalam bentuk makanan kepada warga UiTMCT dengan kekerapan sebulan sekali di sepanjang 2023. Di samping bersedekah, program ini juga sejajar dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) – Indicator 2: Zero Hunger.
Program SharingRizq@Library Bil. 1/2023 telah diadakan pada 2 Januari 2023, Isnin, dengan menyediakan makanan ringkas percuma kepada pengunjung terawal dengan menu nasi lemak, sandwich dan air kotak. Makanan diagih seawal 8.30 pagi. Penyelaras Program, Cik Asmahani Abdulllah, Pustakawan Kanan, berkata, menariknya tentang program ini adalah dengan perkongsian rezeki yang bersumberkan dana sumbangan staf perpustakaan disediakan secara bergotong-royong oleh staf perpustakaan yang diketuai oleh En. Ahmad Fathi Azahari bin Mohd Azmi, Pembantu Pustakawan, yang berpengalaman dalam bidang penyediaan makanan. Sebagai permulaan, menu ringkas ini disediakan kepada 50 orang pengunjung perpustakaan terawal sahaja.
Alhamdulillah, program ini telah mendapat sambutan yang amat baik daripada para pengunjung perpustakaan dan makanan yang disediakan telah habis diagihkan satu jam selepas dipamerkan.
Di samping menggalakkan warga UiTMCT mengunjungi perpustakaan, program ini juga dapat dilihat sebagai landasan bagi mewujudkan komuniti kampus yang cakna dengan sosio-ekonomi di kalangan pelajar. Diharapkan melalui sumbangan kecil ini, para pelajar mendapat manfaat kesihatan dalam menuntut ilmu serta dapat memahami perihal berkongsi rezeki walaupun sedikit bukan sahaja mampu memberi senyuman, malah dapat mengurangkan beban perbelanjaan seharian. Sedikit, tapi ikhlas. Semoga program ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Insya Allah.
Disediakan oleh:
1. Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan
2. Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan