Machang, 2 April 2026 – Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan Taklimat Pelaksanaan Inisiatif “Resource Sharing” UiTM-UMK secara dalam talian melalui platform Zoom.
Taklimat ini melibatkan penyertaan ketua-ketua unit serta staf Unit Perkhidmatan Pelanggan PTA, selain turut disertai oleh ketua-ketua unit daripada Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK yang mewakili Kampus Jeli, Kampus Bachok dan Kampus Pengkalan Chepa.
Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Encik Hairuladzhar Mohd Hamdi, yang menjalankan fungsi Ketua Pustakawan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK, diikuti oleh Puan Nordelina Zulkarnain, Ketua Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Tengku Anis.


Sesi perkongsian seterusnya telah disampaikan oleh Encik Muhamad Hanif Ibrahim @ Ismail, Pustakawan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK serta Encik Mohd Izwan Salim, Timbalan Ketua Pustakawan (KUP) (M), Bahagian Perpustakaan Digital (BPDI), Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM. Perkongsian ini memberi penekanan terhadap aspek teknikal pelaksanaan, prosedur pinjaman silang bahan serta potensi kolaborasi program bersama antara kedua-dua institusi.





Perbincangan yang berlangsung turut memfokuskan kepada usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara perpustakaan universiti dalam memperluaskan akses kepada sumber maklumat berkualiti.
Inisiatif “Resource Sharing” ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan perpustakaan, di samping menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan warga akademik di UiTM dan UMK secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang