Tazkirah ‘Bacalah’ Dan Tahlil Buat Mantan Staf PTAR

Shah Alam, 4 November 2022-PTAR Shah Alam telah menganjurkan program tazkirah bulanan berjudul ‘Bacalah’ bersekali dengan bacaan tahlil ringkas buat mantan staf PTAR iaitu Allahyarham Abdul Halim bin Mohd Isa.

Program ini telah dibimbing oleh YBrs. Ustaz Abdul Mutalib bin Jamil, Timbalan Pendaftar, UiTM Shah Alam selama satu jam dan dihadiri oleh kira-kira 40 orang staf PTAR Shah Alam.

Encik Mohd Adib bin Mohd Mohsin selaku pengacara majlis telah memulakan majlis tepat jam 9:10 pagi. Bacaan tahlil ringkas buat Allahyarham Abdul Halim bin Mohd Isa yang telah berkhidmat selama 42 tahun di PTAR, Shah Alam.

YBrs. Ustaz Abdul Mutalib bin Jamil (kanan) bersama pengacara majlis Encik Mohd Adib bin Mohd Mohsin
Staf PTAR yang hadir ke program tazkirah ‘Bacalah’.

Selesai bacaan tahlil pada jam 9.30 pagi, YBrs. Ustaz Abdul Mutalib telah menyampaikan ilmu berkenaan topik ‘Bacalah’. Intipati perkongsian ilmu kali ini ialah apabila beliau menyatakan bahawa para ulama telah menggariskan tiga perkara yang terkandung di dalam istilah ‘Bacalah’ iaitu How to Read (Bagaimana hendak membaca), How to Learn (Bagaimana hendak mempelajari isinya) dan How to Understand (Bagaimana hendak mengamalkannya). Beliau mengambil contoh tentang bagaimana masyarakat jahiliah di Mekah sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas kedatangan agama Islam. Kaum Muhajirin dan Ansar yang dahulunya berpecah belah akhirnya bersatu padu dan hidup harmoni setelah kaumnya mendalami agama Islam menerusi membaca. Tambah beliau, menerusi amalan membaca, sesuatu bangsa akan menjadi maju dan berkembang kerana mendalami pelbagai ilmu. Namun, yang lebih utama, individu itu mengenali tuhan yang menciptakanNYA sebagaimana ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama surah Al-‘ALAQ di gua Hira’ tatkala malaikat Jibril meminta Baginda SAW ‘IQRA’ iaitu BACALAH.

Staf PTAR sedang membaca tahlil di program tazkirah ‘Bacalah’. 

YBrs. Ustaz Abdul Mutalib turut saling mengingati tentang bagaimana sesuatu amalan manusia itu akan muflis di akhirat kelak sekiranya memutuskan talian silaturrahim sesama manusia. Bahkan, tiada sebarang ganjaran pahala yang akan diperoleh oleh seseorang itu sekiranya tidak menghubungkan kembali talian silaturrahim. Di zaman yang serba mencabar ini, punca putusnya talian silaturrahim amat mudah khususnya menerusi media-media sosial apabila maklumat tersebar dengan meluas dan boleh diakses dengan mudah.

Program tazkirah telah berakhir tepat jam 10:00 pagi dan hadirin yang hadir diundang ke Ruang Rehat PTAR Shah Alam untuk menikmati minum pagi. Program ini adalah terbuka kepada Staf PTAR Shah Alam dan menyumbang kepada jam latihan PTAR kategori UMUM.

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply