Majlis Sekalung Budi,Sejambak Kasih Sempena Persaraan Staf Perpustakaan UiTMCT

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) telah mengadakan Majlis Sekalung Budi, Sejambak Kasih bertempat di Restoran Sri Molek,Hotel UiTM Terengganu, bagi meraikan persaraan Encik Zulkifli bin Haji Salleh, Pembantu Pustakawan Kanan, pada 27 Oktober 2022, Khamis yang lalu. Beliau, yang mesra dengan panggilan Pok Zul di kalangan warga kampus UiTMCT, bakal bersara pada 24 Januari 2023 dan mula bercuti rehat pada 23 Oktober 2022, Ahad yang lalu. Beliau telah berkhidmat selama 37 tahun di bahagian Perpustakaan UiTM Cawangan Terengganu, seiring dengan awal penubuhan kampus UiTM Cawangan Terengganu yang bermula di Sura Gate, Dungun. Dikenali sebagai seorang yang ceria, ringan tulang, dan senang berurusan dengan sesiapa sahaja, persaraan Pok Zul pada hari ini begitu dirasai, dan tiada kata dapat diungkap melainkan doa dari kejauhan.

Ucapan daripada yang dirai, En. Zulkifli Haji Salleh.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video mempersembahkan detik kenangan terindah Pok Zul bersama staf perpustakaan sejak awal beliau berkhidmat, dan diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kenang-kenangan dari bahagian Perpustakaan yang disampaikan oleh Encik Shahrol Nizam Johol,Timbalan Ketua Pustakawan, serta beberapa orang wakil unit. Turut hadir bersama-sama meraikan majlis ini ialah En. Mohd Shahnizam Mat Zain, wakil dari Kampus Bukit Besi, dan En. Faizulkarnain Mamat, wakil dari Kampus Kuala Terengganu.

Bergambar kenangan bersama yang dirai, En. Zulkifli Haji Salleh.

Selamat maju jaya diucapkan kepada En. Zulkifli bin Haji Salleh (Pok Zul), kami di bahagian Perpustakaan Cendekiawan mendoakan agar Pok Zul sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera, dikurniakan kesihatan yang baik serta mendapat rahmat dan redha Allah S.W.T.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh hamba menumpang mandi,
kalau ada umur yang panjang,
boleh kita berjumpa lagi.

Jasa dan pengorbanan Pok Zul tetap diingatan. Selamat bersara!

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply