Program Khidmat Masyarakat 3.0 UiTM Kampus Bandaraya Melaka

Tarikh: 21 September 2022

Tempat: Sekolah Kebangsaan Pahang Tua

Kampus Bandaraya Melaka dengan jayanya menganjurkan Program Khidmat Masyarakat 3.0 setelah lama terhenti akibat Covid-19. Program ini dilakukan di Sekolah Kebangsaan Pahang Tua, Pekan, Pahang Darul Makmur pada 21 September 2022.

Ia melibatan staf pentadbiran dan akademik UiTM Kampus Bandaraya Melaka. Staf PTAR KBM yang turut bersama ialah En. Mohd Hilmi Mat Rosli. Ketua Projek Dr. Rizuwan Abu Karim (Fakulti Pengurusan Perniagaan) dan dibantu oleh En Zamzuri Ahmad Nazari (Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan). Seramai 20 orang kakitangan dari pelbagai unit/ bahagian dan juga para pensyarah dari fakulti FPHP dan FPP dari UiTM Kampus Bandaraya Melaka termasuk seorang pesara UiTM telah terlibat dalam menjayakan program ini. Turut menjayakan program ini, Penolong Rektor UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Dr. Mohd Halim Mahphoth.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah membina sebuah ‘Little Free Library’ iaitu perpustakaan kecil yang berfungsi sebagai kotak perkongsian buku percuma di mana sesiapa sahaja boleh mengambil atau berkongsi buku. ‘Little Free Library’ ini bertujuan menggalakkan aktiviti membaca di kalangan murid-murid, terutama murid-murid dari keluarga yang kurang berkemampuan.

UiTM KBM juga menerima sumbangan dalam bentuk buku dan majalah dari Perpustakaan Negara Malaysia untuk disumbangkan kepada perpustakaan Sekolah Kebangsaan Pahang Tua. Lain-lain sumbangan termasuklah rak buku baharu dan layar skrin projektor yang telah dipasang di perpustakaan sekolah untuk digunakan sebagai ruang tayangan. Perpustakaan sekolah ini juga diberi nafas baru dengan penggantian alas meja baharu untuk keselesaan murid-murid.

Selain daripada itu, satu sesi motivasi dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) juga telah diadakan khusus untuk pelajar tahun dua di sekolah berkenaan. Sesi ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari kalangan murid dan guru sekolah tersebut. Program ini diharapkan melalui penglibatan bersama, dapat membentuk jati diri, semangat kerjasama dengan komuniti sekeliling dan sekaligus menimba pengalaman baharu.

Pemasangan kotak ‘Little Free Library’ di laluan tangga sekolah.
Sesi bergambar bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan Pahang Tua.

Di sediakan oleh : Siti Haidah Md. Aziz, Pustakawan Kanan PTAR UiTM Kampus Bandaraya Melaka

Avatar photo
Mohd Hilmi Mat Rosli

Leave a Reply