Program Semarak Merdeka: Jalur Gemilang Kita Punya

Sempena bulan kemerdekaan Malaysia, Perpustakaan Cendekiawan dan Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) telah  menganjurkan Program Semarak Merdeka: Jalur Gemilang Kita Punya pada 15 Ogos 2022, Isnin yang lalu.Bertempat di Dataran Aspirasi UiTMCT, program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Rektor UiTMCT, dan telah disertai oleh lebih 150 orang staf UiTMCT dari ketiga-tiga kampus; Dungun, Kuala Terengganu, dan Bukit Besi. Program ini juga telah mendapat sokongan penuh Pengurusan Tertinggi UiTMCT yang turut hadir dalam menjayakan aktiviti yang dilaksanakan.

Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan ialah Senamrobik #KeluargaUiTMCTSihat, nyanyian lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan bendera Malaysia, dan aktiviti gotong-royong mengecat bendera Malaysia sepanjang 10 meter. Program ini diserikan lagi dengan gimik perasmian menaikkan Jalur Gemilang gergasi yang berukuran 46 kaki panjang dan 13 kaki lebar di Bangunan Integriti UiTMCT, dan acara cabutan bertuah oleh penaja yang terlibat.

Di samping dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warga UiTM Cawangan Terengganu, program seperti ini juga dapat mengeratkan silaturahim di kalangan peserta. Rata-rata peserta menyatakan rasa puas hati dan gembira dapat menyertai program ini dan berharap ianya dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Dirasmikan oleh Ybhg. Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Rektor UiTMCT.
Aktiviti mengecat bendera Malaysia dimulakan oleh Ybhg. Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Rektor UiTMCT.
Gotong-royong mengecat bendera Malaysia sepanjang 10 meter.
Lebih meriah dengan sokongan para peserta yang hadir dengan pakaian bertemakan kemerdekaan.
Senamrobik #KeluargaUiTMCTSihat.
Team penganjur bersama Jalur Gemilang gergasi dan bendera Jalur Gemilang yang dihasilkan oleh warga UiTMCT secara bergotong-royong. Tahniah kepada semua yang terlibat.

Sememangnya mengibarkan Jalur Gemilang merupakan suatu inisiatif rakyat Malaysia menzahirkan rasa cinta kepada negara. Bendera Malaysia yang berkibar megah bukanlah hanya selembar kain yang beralun ditiup angin, tetapi ia melambangkan keamanan dan perpaduan yang menjadi titik persamaan kita sebagai rakyat Malaysia.

MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply