Program FBLive@PCUiTMCTKBB: Segmen Bersama Penulis Buku “Antologi Sajok Loghat Tranung & Guane Gamok”

Program siaran langsung di Facebook Perpustakaan Cendekiawan UiTM Bukit Besi membuka tirai tahun 2022 kali ini dengan menampilkan seorang penulis buku tempatan, anak kelahiran Pulau Duyong, Terengganu iaitu En. Saiful Azli Osman atau dikenali dengan nama pena “Bekok Cobbong”. Mengupas intipati dua hasil karya peribadi beliau iaitu “Antologi Sajok Loghat Tranung” dan “Guane Gamok” memberikan inspirasi kepada pembaca dan penutur loghat Terengganu di luar sana untuk mendalami apa yang cuba diketengahkan oleh penulis dalam karya beliau. Selain mengandungi sajak yang berunsur nasihat, jenaka dan berceritakan pengalaman beliau, karya unik beliau juga telah diterbitkan 100% dalam loghat Terengganu.

Bertepatan dengan objektif program ini diadakan, selain menyokong Kempen Read@UiTM, Perpustakaan cuba mengajak pembaca dan penonton di luar sana untuk mencintai bahasa/ loghat tempatan agar tidak luput ditelan zaman dan berkongsi idea, motivasi dan pandangan bersama-sama penulis bagaimana untuk mengorak langkah pertama dalam menghasilkan sesebuah buku. Pada masa yang sama, Perpustakaan juga berhasrat untuk membantu penulis dalam memasarkan hasil karya beliau kepada orang ramai.

Hasil karya graduan Universiti Utara Malaysia ini juga sebenarnya telah mendapat liputan daripada TV DarulIman dan mendapat permintaan bukan sahaja di kalangan orang Melayu, malah turut diminati oleh kaum Cina. Turut dikongsikan juga beberapa video pendek deklamasi sajak antaranya daripada pembaca cilik yang mencuit hati mendeklamasikan sajak dalam loghat negeri yang terkenal dengan batik, nasi dagang, keropok lekor dan penyu . Sebelum program berakhir, penulis telah mendeklamasikan 2 (dua) sajak pilihan beliau yang dipetik dari 2 (dua) karya beliau dalam loghat Terengganu. Dengan catatan seramai 104 views, program siaran langsung ini berakhir jam 11 pagi.

Penulis: Mohd Shahnizam Mat Zain, Pustakawan Kanan

Mohd Shahnizam Mat Zain Per. Cendekiawan Bukit Besi Terengganu

Leave a Reply