Pada 25 Januari 2022 (Selasa), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah menganjurkan Program Library Outreach “A Day with PTAR Tapah”. Beberapa aktiviti telah diadakan sepanjang program ini berlangsung seperti “Mencari Tajuk Buku”, “Meneka Ruang di PTAR Tapah” dan kuiz mengenai My Knowledge Management Portal. Di samping mempromosikan bahan bacaan yang terdapat di PTAR Tapah, program ini juga bertujuan bagi menggalakkan para pengguna terutamanya pelajar UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah untuk menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan seperti ruang-ruang yang terdapat di PTAR Tapah. Peserta juga diberikan pendedahan mengenai Portal My Knowledge Management menerusi program Library Outreach ini.
Seramai 25 orang pelajar yang terdiri daripada Fakulti Perakaunan, Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik telah menyertai program anjuran PTAR Tapah ini di mana mereka telah diberikan kertas yang mengandungi soalan dan perlu menjawab dengan tepat dan cepat. Di samping itu, mereka juga perlu melengkapkan kuiz mengenai Portal My Knowledge Management secara atas talian (Google Form). Seramai 4 orang pelajar telah mendapat markah yang tertinggi dan mereka diberikan hadiah. Walaubagaimanapun, saguhati turut diberikan kepada peserta yang lain sebagai tanda penghargaan PTAR Tapah kepada mereka.
Program Library Outreach “A Day with PTAR Tapah” diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta. Semoga penglibatan para pelajar dalam program anjuran PTAR Tapah ini dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai koleksi bahan bacaan yang terdapat di Perpustakaan di samping dapat memupuk minat membaca dalam kalangan mereka. Penggunaan Portal My Knowledge Management juga diharap dapat ditingkatkan dengan adanya program seperti ini.
Disediakan oleh: Nur Dayana Mohd Narwawi, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah