Shah Alam, 29 Oktober 2024 – Satu lawatan bermakna telah diadakan pada petang tadi oleh delegasi Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM, yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Haryani Haron. Turut menyertai rombongan ialah Prof. Ts. Dr. Haji Wan Abdul Rahim Wan Mohd Isa, PM Dr. Norjansalika Janom, Dr. Husain Hashim, dan Dr. Mohd Nizam Yunus.
Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk meneroka Koleksi Khas Jawi di Perpustakaan Tun Abdul Razak, yang merupakan khazanah berharga dalam usaha pemeliharaan dan pengkajian bahan-bahan warisan persuratan Jawi. Koleksi ini merangkumi manuskrip dan bahan rujukan penting, yang diharap dapat menjadi sumber utama bagi warga UiTM dan komuniti dalam kajian berkaitan Jawi.
Delegasi turut berbincang dengan pihak perpustakaan dan fakulti untuk memperkukuh pembangunan Repositori Persuratan Jawi, satu inisiatif yang akan memudahkan akses kepada bahan-bahan Jawi secara digital. Repositori ini dijangka memperkaya kajian dan rujukan ilmiah dalam kalangan pelajar, pensyarah, dan komuniti luar.
Lawatan ini diakhiri dengan komitmen bersama untuk memajukan pembangunan bahan-bahan persuratan Jawi, dengan harapan agar khazanah ini dapat terus dilestarikan dan dimanfaatkan generasi masa depan.