Program SPEED READING @ UNIT LADANG: Meningkatkan Kemahiran Membaca Kakitangan UiTM Cawangan Perlis
Perlis, 29 Ogos 2024 – Satu program SPEED READING telah diadakan di Makmal Komputer PDJH2, UiTM Cawangan Perlis pada hari Khamis yang lalu, bermula dari jam 2:30 hingga 4:30 petang. Program ini dihadiri oleh seramai 26 orang kakitangan dari Unit Ladang dan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran membaca melalui teknik bacaan pantas.
Penceramah bagi program ini, En. Khairil Izwan Hasan, Pustakawan PDJH, telah memimpin sesi pengenalan dan teknik bacaan pantas. Dalam program ini, peserta diberi peluang untuk menguji kelajuan membaca mereka melalui ujian kelajuan serta sesi praktikal bacaan pantas.
Selain itu, program ini juga mengandungi kuiz dan penyampaian hadiah bagi pemenang, yang bertujuan untuk memupuk semangat bersaing di kalangan peserta. Fasilitator program ini terdiri daripada Pn. Nur Farahanim Abdull Jamal, Pn. Siti Nur Shuhada Hairol Nizam, En Muhammad Nasrul Naim Haslin, dan En Asneezam Ahmad.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik bacaan pantas, meningkatkan keyakinan diri ketika membaca, serta menggalakkan minat membaca di kalangan peserta. Di samping itu, program ini bertujuan untuk membina kompetensi pembacaan dan mengesan kelajuan bacaan peserta berdasarkan kadar perkataan per minit.
Program SPEED READING diharapkan dapat memberi impak positif kepada kakitangan Unit Ladang dalam meningkatkan kemahiran membaca serta membudayakan amalan membaca dalam kalangan mereka.