Dekad terawal selepas kemerdekaan negara merupakan suatu tempoh yang sangat kritikal bagi kemajuan pendidikan orang Melayu. Bahasa Melayu umpamanya, meskipun telah diperundangkan sebagai bahasa pengantar di sekolah, namun disebabkan Bahasa Inggeris kekal menjadi bahasa pendidikan yang mempunyai nilai ekonomi, kemajuan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara dilihat sukar dilaksanakan.

Perkembangan sedemikian meresahkan para pemimpin dan cendekiawan Melayu. Mereka berpandangan hala tuju tersebut akan menatijahkan ketidakseimbangan lantaran memencilkan orang Melayu daripada arus kemajuan yang sewajarnya mereka kecapi. Bagi kumpulan ini, kerajaan perlu mengambil langkah afirmatif bagi memastikan penduduk majoriti dinegara ini mendapat hak yang setara. Mekanisme terbaik untuk merealisasikan harapan tersebut adalah menerusi kemajuan pendidikan. Namun apa yang menarik, mekanisme tersebut tidak digerakkan melalui Kementerian Pelajaran tetapi telah diputuskan untuk dikendalikan oleh satu institusi khusus, Majlis Amanah Rakyat; suatu badan di bawah portfolio Kementerian Luar Bandar.

Sumber : PERANAN MAJLIS AMANAH RAKYAT DALAM PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN INSTITUT TEKNOLOGI MARA, 1966-1976