SEGAMAT, 23 April 2025 – Sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut setiap tahun pada 23 April dan diiktiraf oleh UNESCO, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menganjurkan program “Jom Baca Bersama 10 Minit: Nikmati Saat Ini” sebagai usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga kampus.
Program ini telah berlangsung serentak di seluruh negara pada jam 11.00 pagi hingga 11.10 pagi, melibatkan penyertaan daripada warga kerja dan para pelajar di Kampus Segamat. Dengan hanya meluangkan masa 10 minit untuk membaca, peserta berpeluang menikmati keindahan ilmu sambil menghayati tema utama program, iaitu “Nikmati Saat Ini.”
Apa yang lebih menarik, pelaksanaan program ini turut berlangsung seiring dengan Majlis Sambutan Hari Raya Perdana 2025, menjadikan suasana di UiTM Cawangan Johor lebih meriah dan bermakna. Para peserta dilihat mengambil bahagian dengan penuh minat dan komitmen, menjadikan program ini lebih berimpak.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan untuk memupuk minat membaca, tetapi juga sebagai simbolik kesedaran bahawa membaca adalah satu gaya hidup yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. Pihak PTDI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dan memberi sokongan dalam menjayakan program ini.
Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam menyokong aspirasi kampus dalam melahirkan masyarakat celik ilmu dan berbudaya tinggi.
Pautan hebahan media sosial : media sosial