Segamat, 17 April 2025 – Seramai 46 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman telah berpeluang menyertai Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda yang telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Program ini melibatkan penyertaan pelajar yang terdiri daripada barisan Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya dan School Leaders Board, yang diiringi oleh empat orang guru pengiring. Objektif utama kursus ini adalah untuk membina jati diri, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan mengasah kecekapan komunikasi dalam kalangan pemimpin muda sekolah.
Program dimulakan dengan sesi ‘ice-breaking’ yang dikendalikan dengan penuh semangat oleh Encik Muhamad Faizul Azwan Jalil, bertujuan merangsang semangat kerjasama dan membina jaringan hubungan antara peserta. Slot seterusnya memberi pendedahan berkaitan Teknik Pemprosesan Bahan, disampaikan oleh Puan Siti Rozana binti Mat Sanat, Encik Safwan Kamirul Ain dan Puan Izwani Ahmad, yang menjelaskan kaedah pengurusan teknikal bahan bacaan.
Kemuncak program adalah Kursus Kepimpinan yang disampaikan oleh Encik Faizul Adenan, Timbalan Pegawai Psikologi UiTM Johor, yang menekankan aspek pembentukan jati diri, komunikasi berkesan dan gaya kepimpinan yang positif. Sesi penutup pula menyentuh tentang Teknik Pencarian Maklumat, disampaikan oleh Puan Noredayu Rosli dan Puan Norme Saleh yang memberi panduan kepada para pelajar tentang penggunaan kemudahan perpustakaan untuk mendapatkan maklumat secara efisien.
Menurut Guru Besar SK Temenggong Abdul Rahman, Encik Zurayushazman Ismail, program ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk meneroka dunia perpustakaan akademik serta memperkukuhkan peranan mereka sebagai pemimpin muda yang berwibawa.
Salah seorang peserta, Muhammad Amsyar Rayyan bin Mohd Hairuddin, pelajar Tahun 6, turut meluahkan rasa teruja mengikuti program ini. “Kami seronok sangat! Banyak benda baru yang kami belajar dan rasa lebih yakin sebagai pemimpin,” katanya dengan senyuman penuh semangat.
PTDI berasa amat berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada program ini dan terus komited dalam menyokong pembangunan sahsiah dan potensi pelajar sekolah melalui perkongsian ilmu dan kemahiran.
Pautan media sosial : media sosial