Arau, 15 April 2025 – UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Program Riang Ria Raya bertempat di Dewan Seri Semarak, yang disertai oleh pelbagai bahagian dan pusat tanggungjawab di kampus. Program ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan warga kampus serta mengeratkan hubungan silaturahim antara staf dan pelajar.
Antara yang turut menjayakan program ini ialah Perpustakaan Dato Jaafar Hassan (PDJH) dan Bahagian Infostruktur, yang berganding bahu dalam menyediakan booth pameran serta menyampaikan persembahan istimewa bagi memeriahkan suasana. Booth mereka menampilkan elemen-elemen kreatif dan interaktif, sementara persembahan yang disampaikan mendapat sambutan hangat daripada para hadirin.
Selain itu, beberapa bahagian lain turut mengambil bahagian dengan membuka booth masing-masing serta menyampaikan pelbagai persembahan yang menceriakan. Pelbagai juadah tradisional raya turut disajikan, di samping aktiviti santai dan permainan yang melibatkan warga kampus secara langsung.
Program ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri, tetapi juga menunjukkan komitmen berterusan pihak pengurusan UiTM Cawangan Perlis dalam membudayakan perpaduan, kerjasama, serta semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kampus.