15 April 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program WORD HUNT pada Selasa, 15 April 2025 bertempat di Perpustakaan Sultan Badlishah. Program yang berlangsung dari jam 10:30 pagi hingga 12:30 tengah hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 61 orang pelajar dari pelbagai fakulti. Aktiviti ini merupakan salah satu inisiatif menarik bagi menggalakkan warga kampus memanfaatkan ruang perpustakaan sambil menyertai aktiviti intelektual dalam suasana santai dan menyeronokkan.
WORD HUNT merupakan satu permainan berasaskan pencarian perkataan tersembunyi yang menguji kecekapan peserta dari aspek perbendaharaan kata, fokus, dan ketangkasan berfikir. Para peserta dikehendaki mencari perkataan-perkataan tertentu yang telah disusun secara melintang, menegak, dan menyerong dalam masa yang ditetapkan. Selain menguji minda, aktiviti ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi, bersaing secara sihat dan mengasah kemahiran kognitif mereka.
Program ini juga bertujuan memperkenalkan ruang dan kemudahan di Perpustakaan Sultan Badlishah melalui pendekatan yang lebih mesra pengguna. Ia selari dengan hasrat perpustakaan untuk memupuk budaya literasi maklumat serta menarik minat pelajar agar lebih kerap mengunjungi perpustakaan sebagai pusat ilmu yang menyeronokkan. Aktiviti seperti ini juga mampu memperkukuh hubungan antara perpustakaan dan penggunanya melalui pendekatan yang kreatif dan berimpak tinggi.
Secara keseluruhannya, Program WORD HUNT telah berjaya mencapai objektifnya dalam mencipta suasana pembelajaran yang santai namun bermanfaat. Pihak perpustakaan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua peserta yang telah menjayakan program ini. Diharapkan aktiviti seumpama ini dapat diteruskan dan dikembangkan lagi sebagai usaha berterusan ke arah memperkasakan budaya ilmu di kalangan warga universiti.