Segamat, 9 April 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025 dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di Bilik Timbalan Ketua Pustakawan, PTDI 1, bermula jam 9.00 pagi.
Kunjungan ini melibatkan seramai lapan orang wakil MPP yang hadir bagi memperkenalkan barisan kepimpinan baharu serta membina hubungan erat bersama pihak pengurusan perpustakaan. Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas oleh Puan Mawar Noor Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan, yang turut memperkenalkan warga kerja serta menerangkan fungsi utama PTDI dalam menyokong aktiviti akademik dan pembangunan pelajar UiTM.
Yang Dipertua MPP, Encik Aiman Hafiz Abd Rashid, turut mengambil peluang memperkenalkan barisan MPP yang hadir dan menyerahkan carta organisasi terkini kepada pihak PTDI. Penyerahan ini bertujuan memudahkan komunikasi rasmi serta merancang kolaborasi yang lebih sistematik antara kedua-dua pihak.
Sesi turut disusuli dengan perbincangan mengenai potensi kerjasama antara PTDI dan MPP, termasuk penganjuran program atau aktiviti yang mampu memberi nilai tambah kepada pelajar serta memperkukuh penglibatan mereka dalam aktiviti perpustakaan. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk menjalin kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama pada masa akan datang.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan suasana mesra dan penuh harapan agar hubungan yang terjalin dapat terus diperkukuh, sekali gus menyokong aspirasi kecemerlangan pelajar dan institusi.
Hebahan media sosial : media sosial