PROGRAM PEMBUDAYAAN ILMU @ PTAR UCS “LET’S READ & REVIEW” BERSAMA PELAJAR SARJANA MUDA PENGURUSAN SENI KULINARI
Puncak Alam, 10 April 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor (PTAR UCS) telah menganjurkan Program Pembudayaan Ilmu @ PTAR UCS: “Let’s Read & Review” pada 10 April 2025 (Khamis) bertempat di Pusat IT, PTAR Kampus Puncak Alam. Program ini telah berlangsung dari pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan melibatkan penyertaan pelajar daripada Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Seni Kulinari.
Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif PTAR UCS dalam memperkasa budaya membaca dan penghayatan ilmu dalam kalangan warga universiti. Melalui sesi ini, para pelajar diberi peluang untuk membuat ulasan terhadap bahan bacaan yang dipilih serta membentangkan pandangan dan refleksi mereka secara terbuka dan ilmiah.
Pelaksanaan program ini turut memberi impak positif dalam menggalakkan pemikiran kritis, komunikasi berkesan dan penglibatan aktif dalam kalangan pelajar. Selain itu, ia juga menjadi platform berkesan bagi menyokong amalan pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi teras kepada falsafah pendidikan UiTM.
Sebagai pengiktirafan penyertaan, jam latihan telah diberikan kepada staf yang hadir, manakala e-Merit disediakan kepada para pelajar yang terlibat sebagai tanda pencapaian dan penglibatan kokurikulum mereka.
PTAR UCS komited untuk terus menganjurkan program-program pembudayaan ilmu seperti ini bagi menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing dan berintegriti.