SEGAMAT, 20 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor melalui kerjasama antara Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) dan Fakulti Sains Maklumat telah menganjurkan Program Awalan Projek Sejarah Lisan bertempat di Ruang LCE, PTDI 1, petang tadi.
Program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang itu diadakan khusus untuk memenuhi keperluan subjek Oral History and Documentation of Cultural Heritage bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Rekod. Ia bertujuan mendapatkan maklumat awal berkaitan responden yang akan ditemu bual, di samping merekodkan sejarah lisan daripada individu yang mempunyai pengalaman penting dalam perkembangan UiTM Cawangan Johor. Seramai 63 orang peserta yang hadir termasuk pelajar dan warga UiTM Cawangan Johor.
Program tersebut menampilkan Encik Hussin bin Ab. Mutalib, pesara UiTM Cawangan Johor, sebagai penceramah jemputan. Beliau berkongsi pengalaman luas sepanjang perkhidmatannya di UiTM, merangkumi pelbagai fasa perubahan, cabaran serta kejayaan institusi. Selain itu, beliau turut menyentuh sejarah awal daerah Segamat, memberi gambaran lebih menyeluruh kepada pelajar tentang konteks sejarah penubuhan dan perkembangan UiTM di kawasan ini.
Perkongsian tersebut bukan sahaja memberi manfaat besar kepada para pelajar dari aspek akademik dan dokumentasi, malah menjadi medium penting dalam menyemai nilai penghargaan terhadap jasa warga universiti terdahulu.
Menurut penganjur, pengalaman dan maklumat yang diperoleh daripada sesi ini akan menjadi rujukan utama dalam projek sejarah lisan pelajar, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan warisan institusi untuk generasi akan datang.
Hebahan media sosial : media sosial