13 September 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah sekali lagi mencatat kejayaan apabila Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Luminous berjaya meraih gelaran Naib Johan dalam Konvensyen KIK Peringkat Zon Utara 2025 yang berlangsung secara atas talian pada 10 hingga 12 September 2025.
Kumpulan Luminous yang dianggotai oleh tujuh orang staf PSB bersama seorang staf dari bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Kedah telah membuktikan komitmen tinggi warga perpustakaan dalam mengamalkan budaya inovasi. Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh daya saing universiti di peringkat zon, malah mengiktiraf usaha gigih kumpulan tersebut dalam mempersembahkan projek inovatif yang memberi impak positif terhadap perkhidmatan perpustakaan.
Lebih membanggakan, Luminous turut merangkul beberapa anugerah lain iaitu Anugerah Pembentang Lelaki Terbaik oleh Encik Muhamad Azrul Ayob, Anugerah KIK Primer Terbaik Inovasi (Sosial) serta telah dinobatkan dengan Penarafan Emas. Kejayaan ini merupakan simbol dedikasi, semangat berpasukan, dan bukti bahawa budaya inovasi mampu membawa UiTM ke tahap yang lebih tinggi.
Seluruh warga Perpustakaan Sultan Badlishah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kumpulan Luminous atas kejayaan membanggakan ini. Semoga pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada seluruh staf untuk terus melahirkan idea kreatif dan inovatif, sekali gus memberi impak positif kepada organisasi dan komuniti kampus.
