Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Program R&R: Rehat Minda & Rawat Badan Tingkat Kesedaran Kesihatan Warga Kampus

Pasir Gudang, 12 November 2025 - Bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan warga universiti, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan Program R&R: Rehat Minda & Rawat Badan bertempat di ruang legar PTDI pada hari ini, 12 November 2025.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu merupakan hasil kolaborasi antara Unit Psikologi & Kaunseling, Hospital Pakar Regency, Pasir Gudang, Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Unit Kesihatan dan AKRAB (Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam).
Antara pengisian utama program ialah ceramah kesihatan bertajuk “Eating Healthy For A Good Mental Wellbeing” yang disampaikan oleh Cik Fatin Najiha Esam, Pegawai Dietetik dari Hospital Pakar Regency, Johor Bahru. Ceramah ini memberi penekanan kepada pemakanan seimbang serta kaitannya dengan kesihatan mental yang baik.
 
Program turut menampilkan Encik Ahmad Khudzairi Bin Khalid, Pensyarah dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang sebagai moderator sesi tersebut.
 
Selain ceramah, turut diadakan pelbagai aktiviti kesihatan seperti pemeriksaan BMI, tekanan darah dan tahap gula (HbA1c), pemeriksaan mata percuma oleh Eyesmate, serta aktiviti “Jelajah Sejahtera: Inventori Diri dan Kanvas Diri” yang merangkumi ujian PHQ-9, True Colours Word Sort dan terapi seni. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta mengenali tahap kesihatan diri serta kesejahteraan emosi secara lebih mendalam.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap pentingnya keseimbangan antara kesihatan mental dan fizikal, di samping mewujudkan suasana kampus yang lebih sihat dan sejahtera.
 
Program turut mendapat sambutan menggalakkan daripada warga UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang yang hadir bagi mendapatkan pemeriksaan serta mengikuti ceramah yang disiarkan secara langsung melalui saluran rasmi UiTM Johor Official.
Secara keseluruhannya, Program R&R: Rehat Minda & Rawat Badan berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberi impak positif terhadap kefahaman peserta mengenai penjagaan diri serta kesejahteraan holistik selaras dengan tema “Rehatkan Minda, Segarkan Jiwa” ke arah warga kampus yang cergas dan produktif.
 
 
 
 
 
Tags: ,