Library News

Program Kerjasama bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok

1 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah mengadakan Program Kerjasama bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok yang berlangsung pada 1 Oktober 2025, bermula jam 8.00 pagi hingga 1.10 tengah hari bertempat di SMK Merbok, Kedah. Program ini telah melibatkan penyertaan seramai 124 orang pelajar bersama warga pendidik sekolah berkenaan dengan tujuan memperkukuh budaya ilmu dan meningkatkan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Sepanjang program ini, para peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti ilmiah yang dirangka khas oleh pihak perpustakaan, antaranya Bengkel Literasi Maklumat, Speed Reading dan Biblioterapi. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik pencarian maklumat yang berkesan dan penggunaan bahan digital, tetapi juga membimbing mereka ke arah pembacaan pantas yang lebih efisien serta penggunaan bacaan sebagai terapi minda dan emosi.

Penganjuran program ini jelas menunjukkan peranan aktif PSB dalam menjalin jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan luar UiTM. Ia juga menjadi platform penting untuk memupuk minat membaca, menggalakkan penggunaan sumber maklumat secara optimum serta menyokong pembangunan sahsiah pelajar melalui kaedah pembelajaran berasaskan ilmu. Program ini sekaligus menyerlahkan usaha PSB dalam memperluaskan perkongsian ilmu ke peringkat komuniti setempat.

Secara keseluruhannya, program kerjasama ini telah berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan yang positif daripada pelajar serta guru SMK Merbok. Diharapkan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi menyemarakkan budaya ilmu dan meningkatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Kedah.

Tags: , ,