SHAH ALAM, 19 Ogos – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam telah menganjurkan program Jalan-Jalan Santai Jiwa Merdeka yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh bermakna.
- 85 warga PTAR sertai Jalan-Jalan Santai Jiwa Merdeka.
- Berjalan sekitar kampus dengan semangat patriotik.
- Eratkan perpaduan & pupuk gaya hidup sihat.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 85 orang warga perpustakaan yang berarak santai melalui laluan sekitar kampus UiTM Shah Alam dengan semangat patriotik. Perjalanan bermula di PTAR dan melalui beberapa lokasi ikonik universiti termasuk PTUU, Kenanga, Bangunan Wawasan (Check Point 1), DATC, Kolej Perindu, Masjid UiTM, Kolej Seroja (Check Point 2), Parking Bertingkat, DSB sebelum berakhir kembali di PTAR sebagai garisan penamat (Check Flag).
Dengan berpakaian bertemakan warna Jalur Gemilang, baju rasmi Malaysia atau UiTM, serta mengibarkan bendera tangan, para peserta mempamerkan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap tanah air.
Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, menzahirkan penghargaan kepada semua warga perpustakaan yang telah menjayakan program ini. Beliau menegaskan bahawa aktiviti sebegini bukan sahaja menyemarakkan patriotisme dalam kalangan warga kampus, tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat yang menitikberatkan kesejahteraan fizikal dan mental.
Selari dengan tema sambutan kemerdekaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, program ini mencerminkan aspirasi PTAR untuk terus menyantuni warga UiTM dengan penganjuran aktiviti berimpak yang memupuk perpaduan, kesihatan, serta kecintaan terhadap negara.
