Puncak Alam, 4 & 5 November 2025 – Program Derma Darah Bersempena Karnival Kesihatan UCS 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Aras 2, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada 4 dan 5 November 2025.
Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Darah Negara, Unit Kesihatan UiTM, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan Kolej Rafflesia, dengan objektif utama untuk memupuk kesedaran dalam kalangan warga kampus tentang pentingnya amalan menderma darah sebagai satu tanggungjawab sosial yang mampu menyelamatkan nyawa.
Sepanjang dua hari penganjuran, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar, staf dan warga kampus. Para peserta turut diberikan penerangan oleh petugas kesihatan mengenai kepentingan derma darah serta proses yang perlu dilalui oleh penderma.
Menurut wakil penganjur, program seperti ini bukan sahaja membantu menambah bekalan darah di Pusat Darah Negara, malah dapat menyemai semangat keprihatinan dan sukarelawan dalam diri warga UiTM.
Dengan tema “Setitis Darah, Sejuta Harapan”, program ini diharap dapat diteruskan secara berterusan bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan warga universiti.
Sekian.
