BANDAR JENGKA, 16 Julai 2025 – Seramai 50 murid sekolah rendah telah menyertai Program Cilik Dinamik: Pelapis Kepimpinan PSS yang berlangsung di Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang hari ini. Program ini merupakan inisiatif Perpustakaan Al-Bukhari dalam usaha melahirkan pelapis kepimpinan Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang berpotensi, berdaya saing dan yakin diri dalam kalangan murid sekolah rendah.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan penyertaan pengawas pusat sumber dari dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (RKTP) Kampong Awah dan Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 19.
Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran peserta tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pengawas PSS, membangunkan kemahiran asas kepimpinan dan komunikasi, serta memberi pendedahan awal mengenai fungsi dan pengurusan pusat sumber melalui pendekatan interaktif. Program ini juga menjadi platform untuk menjalin jaringan kerjasama strategik antara perpustakaan akademik dan sekolah rendah.
Satu slot istimewa bertajuk Langkah Cilik, Impian Besar telah disampaikan oleh Dr Ahmad Faris bin Seman@Kamarulzaman dari Pusat Pengajian Sains. Sesi ini memberi inspirasi kepada peserta untuk menetapkan cita-cita dan impian besar sejak usia muda, di samping menanam nilai kepimpinan dan daya juang dalam diri mereka.
Sebanyak empat sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut dijalankan yang dikendalikan oleh 12 fasilitator berpengalaman. Aktiviti ini memberi fokus kepada pembentukan kerjasama, kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan peserta secara menyeronokkan dan bermanfaat.
Majlis turut menyaksikan sesi Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Perpustakaan Al-Bukhari UiTM Cawangan Pahang dan dua buah sekolah yang terlibat. LoU ini ditandatangani oleh Puan Hajah Rosnita Ja’afar, Ketua Pustakawan Kanan UiTM Cawangan Pahang bersama wakil rasmi daripada SK (RKTP) Kampong Awah dan SK (LKTP) Jengka 19 sebagai simbolik permuafakatan dan komitmen dalam memperkukuh peranan serta pembangunan pusat sumber sekolah.
Dengan terlaksananya program ini, diharap dapat mencetuskan perubahan positif dalam budaya kepimpinan murid serta memartabatkan pusat sumber sekolah sebagai pusat ilmu dan pembangunan sahsiah yang unggul.
