17 Jun 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah dengan kerjasama pelajar Sarjana Muda Sains Perpustakaan (Bachelor of Library Science – BLIS) telah menganjurkan Program Brain Exercise 2: Exercise Your Brain with Crossword Puzzle bertempat di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah. Program ini berlangsung pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang dan disertai oleh seramai 56 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM Cawangan Kedah.
Program ini merupakan kesinambungan daripada siri Brain Exercise terdahulu yang bertujuan merangsang minda peserta melalui aktiviti intelektual secara santai. Dalam edisi kali ini, aktiviti Teka Silang Kata dijadikan sebagai platform untuk menguji pengetahuan umum, kosa kata dan keupayaan berfikir secara kreatif serta kritikal dalam masa yang ditetapkan.
Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi menjayakan pertandingan silang kata yang disusun mengikut tahap kesukaran. Aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan semangat berpasukan dan persaingan sihat, malah berjaya menceriakan suasana pembelajaran tidak formal dalam persekitaran perpustakaan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan rata-rata peserta menyatakan minat untuk menyertai edisi seterusnya.
Program ini merupakan inisiatif menyokong pembudayaan ilmu dalam kalangan warga kampus serta memperkukuh peranan Perpustakaan Sultan Badlishah sebagai pusat kecemerlangan maklumat dan pembangunan kendiri pelajar. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dengan lebih banyak pengisian interaktif untuk memperkasakan ilmu melalui pendekatan yang menyeronokkan.