Shah Alam, 16 Jun 2025 – Suasana penuh penghargaan dan emosi menyelubungi Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam apabila satu Majlis Sanjungan Budi telah diadakan bagi meraikan persaraan En. Arshad bin Bujang, Ketua Timbalan Pustakawan, yang menamatkan perkhidmatannya secara rasmi setelah hampir 32 tahun mencurahkan bakti dan khidmat cemerlang.
Majlis ini menjadi tanda penghormatan atas jasa dan dedikasi beliau yang tidak ternilai sejak mula melapor diri pada 1 Oktober 1993. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, En. Arshad dikenali sebagai seorang pustakawan yang berdisiplin, komited dan berpengetahuan luas dalam aspek pengurusan teknikal dan operasi perpustakaan.
Rakan-rakan sekerja dan warga PTAR mengenang beliau bukan sahaja sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, malah juga sebagai sosok yang ceria dan bersahaja, sentiasa membawa keceriaan di tempat kerja dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai.
"Selamat bersara diucapkan kepada En. Arshad bin Bujang. Terima kasih atas segala sumbangan, jasa dan tunjuk ajar sepanjang perkhidmatan. Kami akan sentiasa merindui gelagat mesra dan kepakaran tuan yang menjadi sumber rujukan ramai. Semoga terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan ketenangan dalam fasa kehidupan yang seterusnya."
Majlis yang dihadiri oleh warga kerja PTAR dan tetamu jemputan turut diserikan dengan sesi penyampaian cenderahati, tayangan video kenangan, dan ucapan penghargaan yang menyentuh hati.
Terima kasih, En. Arshad. Budi dan jasamu akan sentiasa dikenang.