Perpustakaan Al-Bukhari Terima Kunjungan Rasmi MPP Sesi Baharu UiTM Pahang
JENGKA, 27 November 2025 – Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang telah menerima kunjungan daripada barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025/2026 dalam satu sesi lawatan mesra dan pengenalan rasmi bersama pihak perpustakaan.
Ketibaan delegasi MPP disambut mesra oleh Puan Hajah Rosnita Ja'afar, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (Memangku) (KUP), bersama Encik Fadhli Samsudin, Pustakawan Kanan, serta Puan Muniratul Husna Mohd Zaki, Pustakawan.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada kepimpinan pelajar mengenai peranan dan fungsi perpustakaan sebagai pusat sokongan akademik yang penting di kampus. Sepanjang sesi tersebut, para pelajar diberi taklimat ringkas mengenai perkhidmatan perpustakaan, kemudahan ruang pembelajaran, koleksi rujukan, serta pelbagai inisiatif digital yang disediakan bagi memenuhi keperluan pembelajaran generasi masa kini.
Pihak perpustakaan menzahirkan harapan agar hubungan kolaboratif antara MPP dan perpustakaan dapat diperkukuh melalui pelbagai program strategik yang berorientasikan kecemerlangan akademik. Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, memupuk budaya ilmu dalam kalangan pelajar, serta memperkukuh kedudukan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang unggul di UiTM Cawangan Pahang.
