Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Bicara Pakar: Usahawan Muda Bumiputera Pemangkin Inovasi Anak Bangsa

PERLIS, 18 Jun 2025 – Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Perniagaan, Bahagian Hal Ehwal Akademik, MASMED, Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) telah menganjurkan Slot Podcast NEBUVA Vol. 20 bertemakan "Bicara Pakar: Usahawan Muda Bumiputera – Pemangkin Inovasi Anak Bangsa". Program ini berlangsung secara fizikal di Dewan Sri Semarak dan turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan YouTube rasmi Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan.

Bermula pada jam 9.30 pagi, program ini berjaya menarik kehadiran seramai 376 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah, alumni, staf pentadbiran serta wakil industri. Tujuan utama penganjuran slot ini adalah untuk mengetengahkan pengalaman dan pandangan pakar dalam bidang keusahawanan serta memberi motivasi kepada pelajar untuk menceburi bidang tersebut.

Slot ini menampilkan dua panel jemputan istimewa iaitu Tuan Dzahir Jamudin, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya dan Setiausaha Agung Alumni UiTM Perlis (DBS), serta Dr. Athifah Najwani Shahidan, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Perlis dan juga Pengarah Urusan kepada syarikat start-up Athanliz Innovation Sdn. Bhd.. Sesi bual bicara ini dimoderatorkan oleh Dr. Nurwahida Fuad, Koordinator Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN).

Antara isi kandungan perkongsian yang diketengahkan sepanjang program ini merangkumi:

  1. Motivasi keusahawanan diri – bagaimana minat dan kesungguhan boleh membentuk asas kejayaan dalam dunia keusahawanan.
  2. Strategi penglibatan dalam bidang perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa – meliputi cara membina jaringan, mengakses dana serta memahami keperluan pasaran.
  3. Isu dan cabaran semasa usahawan muda – termasuk cabaran mendapatkan modal, sokongan, dan bagaimana menghadapi tekanan serta persaingan dalam dunia perniagaan moden.

Program ini juga bertujuan:

  • Memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar melalui pengalaman sebenar daripada tokoh usahawan.
  • Membuka ruang perbincangan dan perkongsian idea dalam kalangan pelajar dan alumni.
  • Membina jaringan profesional yang dapat dimanfaatkan dalam peluang latihan industri dan kerjaya.
  • Memperkukuh hubungan antara universiti dan alumni melalui penglibatan aktif mereka dalam pembangunan pelajar.

Melalui penganjuran Podcast NEBUVA Vol. 20, UiTM Cawangan Perlis terus menunjukkan komitmen dalam mendekatkan dunia akademik dengan industri melalui perkongsian ilmu secara terbuka, kreatif dan berimpak tinggi. Inisiatif ini diharap dapat menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sebagai pelapis generasi usahawan masa depan.

Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui saluran rasmi Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan.

Facebook: https://www.facebook.com/pdjh.perlis/videos/bicara-pakar-usahawan-muda-bumiputera-pemangkin-inovasi-anak-bangsa/1942052793229779/

Youtube: https://www.youtube.com/watch?v=UMZKoOTfco4

 

 

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.