Library News

Lawatan Thai Health Academy Ke PTA

Lawatan Thai Health Academy Ke PTA

LAWATAN THAI HEALTH ACADEMY KE PTA PERKUKUH HUBUNGAN SERANTAU

Perpustakaan Tengku Anis, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Thai Health Academy, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala melibatkan bidang pendidikan, literasi maklumat serta kerjasama akademik serantau.

Seramai 15 orang delegasi diketuai oleh Prof. Dr. Nantawat Sitdhiraksa hadir mewakili institusi kesihatan berprestij dari Thailand. Ketibaan rombongan disambut oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tengku Anis, Puan Nordelina Zulkarnain, bersama warga kerja perpustakaan.

Sepanjang lawatan, delegasi diberi taklimat mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan, termasuk sistem perkhidmatan digital, fasiliti pembelajaran berasaskan teknologi, serta inisiatif literasi maklumat. Delegasi turut dibawa melawat ke ruang pameran Print with Nature  dan The Authentic Diploma Show dan beberapa bahagian terpilih di dalam perpustakaan.

Prof. Dr. Nantawat dalam ucapannya menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik melibatkan pertukaran pelajar, pengurusan perpustakaan serta program kesedaran kesihatan berbentuk komuniti. “Kami amat mengagumi pendekatan holistik dan mesra pengguna yang ditampilkan oleh Perpustakaan Tengku Anis,” katanya.

Menurut Puan Nordelina, lawatan ini membuka ruang untuk kolaborasi rentas sempadan yang mampu memperkasa budaya ilmu serta memperluas jaringan kepakaran antara kedua-dua institusi.

Lawatan berakhir dengan sesi bergambar kenangan, sekaligus menandakan permulaan jalinan erat antara dua institusi pendidikan dari Malaysia dan Thailand.