Pasir Gudang, 06 November 2025 – Seramai 99 orang pelajar dan 9 orang guru pengiring dari Sekolah Maahad Pontian (SABK) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang pada Khamis, 6 November 2025.
Lawatan yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.00 petang ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi serta memperkenalkan kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh UiTM, khususnya di PTDI.
Perpustakaan Tun Dr. Ismail turut mengisi slot sesi lawatan mereka ke Kampus Pasir Gudang. Justeru, lawatan ini memberikan peluang kepada peserta untuk memahami bagaimana sebuah perpustakaan universiti diuruskan dengan efektif.
Mereka diberikan penerangan tentang fungsi-fungsi utama perpustakaan serta cara penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan bahan bacaan.
Selain itu, para peserta juga berpeluang melawat pelbagai bahagian di perpustakaan, termasuk ruang bacaan, bilik komputer, serta kawasan repositori bahan ilmiah.
Lawatan ini telah mencapai matlamatnya dengan memberi pendedahan berguna kepada para guru dan pelajar yang terlibat.
