Shah Alam, 24 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan Kursus Hands-On Google Site bertempat di Pusat IT, PTAR dengan penyertaan seramai 40 orang staf yang terdiri daripada pegawai akademik dan pelaksana.
Kursus intensif sehari ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Alfarabie bin Mohd Nasir selaku penceramah, dengan bantuan Encik Asraf Zamani Hazim sebagai fasilitator. Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan PTAR dalam memperkukuh literasi digital dalam kalangan warganya, selari dengan aspirasi pendigitalan yang digariskan oleh UiTM.
Antara objektif utama kursus ini adalah untuk:
-
Membangunkan platform Google Site sebagai pusat rujukan berpusat untuk dokumen penting jabatan;
-
Menyediakan kaedah capaian maklumat yang sistematik, tersusun dan mesra pengguna;
-
Meningkatkan kemahiran staf dalam pengurusan maklumat digital menggunakan platform percuma dan efektif;
-
Memberi latihan praktikal (hands-on) dalam membina, menyusun dan menyelenggara kandungan digital secara berkesan.
Kursus ini bukan sahaja memperkukuhkan keupayaan teknikal peserta dalam pembangunan laman digital, malah turut memupuk budaya kerja yang lebih inovatif dan kolaboratif, selaras dengan keperluan transformasi dalam era maklumat digital masa kini.
Melalui program ini, PTAR juga menyasarkan pembentukan bakat pustakawan digital (Digital Librarian Talent Pool) yang mampu memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital perpustakaan dan mempertingkatkan kecekapan pengurusan sumber maklumat serta dokumentasi jabatan.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen PTAR dalam memperkasa sumber manusia melalui latihan berstruktur dan relevan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan institusi dalam mendepani cabaran pendigitalan pada masa hadapan.