Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Nik Faizal Nik Ahmad dan Tuan Hairul Mubarak bin Haji Ibrahim Lawat PTAR UiTM Usai Simposium OE 2025

04 Ogos 2025 | 10 Safar 1447H | Shah Alam – Seusai Simposium OE 2025, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), telah menerima kunjungan istimewa daripada dua tokoh alumni UiTM, iaitu Tuan Nik Faizal Nik Ahmad dan Tuan Hairul Mubarak bin Haji Ibrahim.

Tuan Nik Faizal merupakan seorang Pakar Produktiviti Kanan dan Perunding Bebas, manakala Tuan Hairul Mubarak pula ialah seorang pemimpin industri yang berpengalaman luas dalam sektor pembuatan plastik automotif. Kehadiran mereka ke PTAR menzahirkan penghargaan terhadap institusi yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan akademik dan kerjaya mereka.

Kunjungan bersejarah ini disambut mesra oleh Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, bersama Ketua Bahagian Pelanggan Perpustakaan, En. Mohd Ismail. Mereka telah membawa kedua-dua alumni menelusuri ruang-ruang utama perpustakaan, termasuk memperkenalkan mereka kepada Koleksi Khas Jawi, yang memelihara warisan intelektual Melayu dan Islam dalam bentuk manuskrip dan bahan nadir yang bernilai tinggi.

Menurut pihak PTAR, kehadiran kedua-dua alumni terkemuka ini bukan sekadar lawatan biasa, malah mencerminkan peranan penting alumni dalam memperkukuh jaringan akademik dan menyemarakkan budaya ilmu di kampus. Ia juga menjadi inspirasi buat seluruh warga perpustakaan serta komuniti akademik UiTM.

“Perpustakaan sebagai nadi ilmu akan terus menyokong dan mendukung agenda universiti dalam menghubungkan jaringan alumni dengan komuniti akademik,” ujar Ketua Pustakawan dalam kenyataan beliau. Pertemuan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada kolaborasi strategik antara perpustakaan dan alumni pada masa akan datang.

Lawatan ini mengangkat semangat “Ilmu untuk Dipelihara, Warisan untuk Dikongsi”, seiring dengan misi PTAR dalam melestarikan khazanah ilmu dan menghubungkannya kepada generasi masa depan.

Tags: ,