SHAH ALAM, 20 Ogos – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam telah menerima kunjungan istimewa daripada dua tokoh antarabangsa iaitu Dr. Mohamed Abdulla Mohamed, Manager of Learning Resource Center, Prince Mohammad Bin Fahd University, Arab Saudi, dan Dr. Furkan Yousaf, Directorate of Monitoring and Evaluation, Law and Parliamentary Affairs Department, Pakistan.
- PTAR UiTM Shah Alam terima kunjungan antarabangsa dari Arab Saudi & Pakistan.
- Perbincangan fokus kepada koleksi perpustakaan, transformasi digital & perkhidmatan digital.
- Buka peluang kolaborasi strategik dalam pembangunan bakat, penyelidikan & mobiliti staf.
Perbincangan berlangsung dalam suasana mesra dan produktif dengan memberi fokus kepada tiga topik utama, iaitu pembangunan koleksi perpustakaan, transformasi digital, dan inisiatif perkhidmatan digital.
Dalam aspek pembangunan koleksi, para peserta sepakat bahawa perpustakaan masa kini perlu mengimbangi koleksi bercetak dengan sumber digital, bahan rujukan khusus, serta koleksi warisan bernilai tinggi. Strategi kurasi koleksi harus lebih inklusif, relevan, dan responsif terhadap keperluan pengguna global.
Bagi transformasi digital perpustakaan, perbincangan menekankan bahawa inovasi bukan sekadar penggunaan teknologi baharu, sebaliknya memerlukan perubahan budaya kerja, cara penyampaian maklumat, serta keterhubungan dengan komuniti. Automasi, integrasi sistem, dan kepintaran buatan (AI) dilihat sebagai pemacu utama ke arah perpustakaan pintar.
Manakala dalam inisiatif perkhidmatan digital, pelbagai bentuk sokongan seperti pembelajaran atas talian, khidmat rujukan maya, dan aplikasi mudah alih mesra pengguna dibincangkan bagi menyediakan pengalaman pengguna yang lebih “seamless” tanpa mengira masa, lokasi atau peranti.
Selain pertukaran pandangan, pertemuan ini turut membuka ruang kepada potensi kolaborasi strategik pada masa hadapan, termasuk pembangunan bakat pustakawan, penyelidikan bersama, dan program mobiliti staf.
Sebagai penutup kunjungan, para tetamu dibawa meninjau Koleksi Khas Jawi dan sekitar PTAR yang menampilkan khazanah ilmu serta inovasi. Lawatan ini sekaligus menegaskan peranan PTAR sebagai Vibrant Centre of Learning – sebuah pusat ilmu yang progresif, bersifat global, dan terus menyemai inspirasi kepada generasi akan datang.
