24 Oktober 2025 | 2 Jamadil Awal 1447H
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam
Puncak Alam, 24 Oktober 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menjadi tuan rumah bagi Jelajah Akhir Peringkat Negeri Selangor Program E-Sport 2025, satu acara yang memperlihatkan semangat tinggi dan penyertaan meluas dalam bidang sukan elektronik (E-Sport).
Program ini merupakan inisiatif ACS Edu Tour dengan kerjasama CRIT Esport Malaysia dan Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan, yang bertujuan memupuk bakat serta minat dalam kalangan mahasiswa terhadap industri sukan elektronik yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Lebih daripada 200 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA & IPTS) telah menyertai pertandingan peringkat akhir ini. Acara yang berlangsung selama dua hari tersebut turut menarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung, sekali gus menjadikan PTAR Kampus Puncak Alam sebagai pusat tumpuan aktiviti sepanjang program berlangsung.
Bagi memeriahkan lagi suasana, pihak penganjur turut mengadakan edaran produk minuman dan makanan percuma kepada para pengunjung. Suasana meriah dan sokongan padu daripada warga kampus menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap dunia e-sukan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran acara seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara PTAR dan komuniti pelajar, malah menunjukkan keterbukaan universiti dalam mendukung aktiviti yang selari dengan perkembangan teknologi dan hiburan digital masa kini.



