Shah Alam, 16 Jun 2025 – Sempena Sambutan Hari Arkib 2025 Peringkat Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM), satu sesi istimewa bertajuk Jejak Memori bersama Dr. Szarina Abdullah telah dianjurkan bagi menghargai sumbangan dan legasi tokoh penting dalam pembangunan bidang Sains Perpustakaan dan Maklumat di Malaysia.
Dr. Szarina Abdullah, mantan Dekan Kajian Sains Perpustakaan dan Maklumat, kembali ke kampus bagi menelusuri semula memori penuh makna bersama warga fakulti, dalam satu sesi penuh nilai sejarah dan inspirasi. Beliau bukan sekadar pemimpin, tetapi juga pendidik, pencetus ilmu dan pelakar dasar awal yang membentuk hala tuju bidang kepustakawanan di UiTM dan Malaysia amnya.
Dalam perkongsian beliau, Dr. Szarina menyelusuri kenangan sewaktu menerajui Kajian Sains Perpustakaan, khususnya dari era 1970-an — bersinergi bersama para Pustakawan, Ketua-Ketua Kajian di Institut Teknologi MARA (ITM), dan juga Persatuan Pustakawan Malaysia. Beliau turut mengenang rakan-rakan seperjuangan serta pelajar-pelajar yang pernah bersama dalam perjalanan ilmu tersebut.
"Banyak yang telah berubah. Kini kita berdepan dengan cabaran teknologi, namun nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan akal tetap menjadi asas penting dalam menilai maklumat dan membuat keputusan," ujar beliau, mengajak warga fakulti untuk tidak melupakan asas pemikiran kritikal dalam dunia yang semakin digital.
Dr. Szarina juga dikenang sebagai antara peneroka awal dalam bidang Bibliometrik di Malaysia, satu disiplin yang ketika itu masih asing, khususnya sekitar tahun 2003. Usahanya membuka laluan kepada pengembangan analitik maklumat dalam konteks penyelidikan dan penerbitan akademik.
Sesi ini menjadi medan refleksi kepada generasi baharu – satu penghormatan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka yang terdahulu. Ia turut menyerlahkan pentingnya memahami sejarah institusi dalam membina masa depan yang lebih berakar pada nilai dan pengalaman.
“Kami pasti, pustakawan di seluruh negara, khususnya pelajar Kajian Sains Perpustakaan tahun 2013 ke bawah, mengenali dan menyanjung tinggi sumbangan lagenda ini,” demikian dinyatakan oleh warga fakulti dalam nada penuh hormat dan penghargaan.