Shah Alam, 27 April 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mencuri tumpuan pengunjung di Ekspo Selangkah ke UiTM 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, pada 26 dan 27 April lalu.
Bertempat di reruai nombor 34, PTAR menampilkan pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan perpustakaan, kemudahan pembelajaran digital, akses sumber maklumat elektronik, serta ruang pembelajaran moden yang menyokong keperluan pelajar masa kini. Kehadiran para pengunjung, termasuk lepasan SPM, STPM dan Diploma, membuktikan minat yang tinggi terhadap peranan perpustakaan dalam ekosistem pembelajaran di UiTM.
Menariknya, reruai PTAR turut menjadi platform pertemuan alumni ITM dan UiTM yang kini aktif dalam komuniti Facebook Kenangan RIDA/ITM/UiTM. Perkongsian kenangan dan pengalaman alumni turut menyerikan suasana, menghubungkan generasi baru UiTM dengan sejarah dan pencapaian institusi yang gemilang.
Menurut pihak penganjur, ekspo kali ini mencatat kehadiran lebih 8,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya. Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata Ekspo Selangkah ke UiTM 2025 menampilkan pendekatan lebih interaktif dan mesra pelajar dalam usaha memperkenalkan UiTM sebagai destinasi pengajian utama, selari dengan tema 'Jadikan UiTM Pilihan No. 1'.
Selain reruai PTAR, pengunjung turut berpeluang menyertai sesi Campus Tour, berinteraksi terus dengan staf akademik dan mendapatkan maklumat program terkini melalui semakan syarat di http://selangkah.uitm.edu.my.
Kejayaan Ekspo Selangkah ke UiTM 2025 ini memperkukuh lagi peranan UiTM dalam membentuk graduan berkualiti yang berpegang pada prinsip 'Globally Renowned, Locally Rooted', selari dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan global.