1 OGOS 2025 | 7 SAFAR 1447H (JUMAAT)
BICARA KARYA AGUNG : SAYANG SARAWAK
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Sarawak telah berjaya menganjurkan sebuah program sempena Hari Arkib Antarabangsa dan Hari Sarawak melalui Bicara Karya Agung: “Sayang Sarawak” pada 31 Julai 2025 yang lalu. Program ini menampilkan penulis dan tokoh sastera tempatan, Dr. Idris Boi, sebagai pembicara utama yang telah berkongsi pengalaman dan pemikiran beliau berkenaan proses penghasilan karya dan nilai-nilai budaya yang ditampilkan dalam buku “Sayang Sarawak”.
Karya ini mengangkat tema cinta terhadap negeri Sarawak melalui lensa sejarah, warisan budaya dan identiti anak watan. Penceramah turut menyentuh aspek pembangunan naratif tempatan dalam penulisan kreatif serta peranannya dalam memperkukuh jati diri bangsa.
Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PTAR dalam memartabatkan karya tempatan serta menyemarakkan minat terhadap kesusasteraan Melayu, khususnya dalam kalangan warga universiti. Ia juga membuka ruang interaksi intelektual antara penulis dan peserta yang terdiri daripada agensi-agensi luar serta warga kampus.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan demi memperkasa ilmu dan menghargai warisan sastera tanah air.
