PTAR amat berbesar hati menerima kehadiran 4 orang guru pengiring dan 40 orang pelajar yang terdiri daripada Pengawas Pusat Sumber dan ahli kelab perpustakaan dari SMK Seri Mahkota, Melaka ke PTAR. Tujuan lawatan ini adalah sebagai perkongsian maklumat berkaitan kemudahan, perkhidmatan dan sistem perpustakaan serta bidang kepakaran pustakawan sebagai pendedahan awal mengenai bidang kepustakawanan.
Lawatan ini dimulakan dengan ucapan aluan dari Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan (Ketua Timbalan Pustakawan / Menjalankan Tugas Ketua Pustakawan) kepada para pelajar. Dalam ucapan beliau, antara perkara yang disentuh adalah halatuju pelajar selepas tamat persekolahan, pengurusan serta kepentingan perpustakaan. Lawatan ini juga diadakan dua sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Puan Siti Salwa A.Rahman (Pustakawan Kanan, Jabatan Perkhidmatan Perpustakaan) berkaitan perpustakaan dan kepakaran pustakawan manakala Encik Mohd Izwan bin Salim (Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan Digital) berkongsi maklumat mengenai pengurusan sistem perpustakaan.
Para guru dan pelajar juga telah dibawa melawat ruang pemuliharaan bahan bagi berkongsi maklumat mengenai proses pemuliharaan dan penjilidan yang dilakukan di PTAR. Kemudian, mereka telah dibawa melawat persekitaran perpustakaan untuk melihat sendiri kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh PTAR.