Saturday, 26 Jamadilakhir 1446
Saturday, 28 December 2024

Library News

Penyertaan Reruai PTAR sempena Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Selangor

Shah Alam, 27 Mei 2023 - Penglibatan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dalam Festival Sastera & Bahasa Peringkat Negeri Selangor pada 27 dan 28 Mei 2023 telah membuka peluang kerjasama yang lebih luas.

Festival anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pejabat Menteri Besar Selangor ini juga turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, antaranya :

  1. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
  2. Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS)
  3. Majlis Debat Universiti Malaysia
  4. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor
  5. Pejabat Pendidikan Daerah Shah Alam
  6.  Pejabat KEMAS Negeri Selangor
  7. Management and Science University (MSU)
  8. Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
  9. Kolej Vokasional Shah Alam

Peluang bertemu dengan tetamu kehormat iaitu YB Menteri Pendidikan Puan Fadhlina binti Sidek dan YAB Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin bin Shari sewaktu program Malam Bahasa Jiwa Bangsa telah membuka peluang kerjasama dalam program anjuran bersama yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Menerusi festival selama dua hari itu, PTAR telah membuka reruai bagi memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan dan koleksi PTAR seperti pendaftaran ahli luar, kemudahan MobileApp UiTM Library, program Read@UiTM dan kemudahan ruang.

Reruai PTAR yang berada dilaluan strategik program Malam Bahasa Jiwa Bangsa telah berjaya menarik kunjungan tetamu kehormat yang lain antaranya Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) YBhg. Datin Paduka Mastura Hj. Muhamad dan Sasterawan Negara Dato' Zurinah Hassan.

Dalam festival ini, PTAR telah diberikan peranan dalam menjayakan Forum Semarak Jawi yang diadakan pada 27 Mei 2023. Panel yang diundang adalah Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz (Timbalan Dekan Akademik dan Pelajar, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM) dan Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhamad (Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM). Moderator pula adalah dari UiTM iaitu Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin (Pensyarah Kanan, Perangsaraf Media dan Informasi, Kolej Pengkomputeran Informatik dan Media, UiTM).

Dalam forum yang bertajuk "Tulisan Jawi Membina Peradaban Bangsa" ini, ahli panel telah berkongsi ilmu mengenai sejarah tulisan jawi, cabaran serta kepentingan tulisan jawi di dalam komunikasi. Ahli panel juga turut mengupas isu mengenai pembudayaan tulisan jawi seperti di media sosial untuk menarik minat golongan muda.

Festival anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah diadakan di Pustaka Raja Tun Uda bermatlamat memartabatkan bahasa dan sastera disamping menambah minat membaca dikalangan rakyat negeri Selangor.

Please publish modules in offcanvas position.