Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Perpustakaan Bergerak PTDI2U Tarik Perhatian Warga Kampus

Perpustakaan Bergerak PTDI2U Tarik Perhatian Warga Kampus

SEGAMAT, 15 Mei 2025 – Program Mobile Library @ PTDI2U anjuran Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) UiTM Cawangan Johor mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menarik kehadiran lebih 250 orang pengunjung terdiri daripada pelajar dan staf universiti. Program yang berlangsung di Speaker's Corner, Kampus Segamat ini diadakan bertujuan mendekatkan perkhidmatan perpustakaan dengan komuniti kampus secara lebih santai dan mesra pengguna.

Pelbagai perkhidmatan menarik telah ditawarkan sepanjang program yang bermula seawal jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu. Antara perkhidmatan yang disediakan ialah konsultasi penggunaan PERMATA UiTM, pinjaman buku dan semakan denda, perkhidmatan penjilidan, pameran bahan arkib, serta khidmat nasihat dan rujukan perpustakaan. Melalui pendekatan ini, pengguna diberi peluang untuk mendapatkan perkhidmatan perpustakaan dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu hadir ke bangunan perpustakaan.

Program yang julung kali diadakan di lokasi terbuka ini turut menjadi platform mempromosikan perkhidmatan PTDI serta menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga kampus. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa pendekatan perpustakaan bergerak amat relevan dan perlu diperluaskan dari semasa ke semasa.

Menurut pihak penganjur, program seumpama ini akan diteruskan lagi di lokasi strategik yang lain bagi memastikan perkhidmatan perpustakaan terus relevan, mudah diakses serta dekat di hati pengguna.

Hebahan media sosial : media sosial

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.