10 Mac 2025 — Program Live Berkah Pagi Ramadan, Siri 2 yang merupakan sebahagian daripada Program Ihya Ramadan telah berlangsung dengan jayanya pagi ini menerusi bacaan penuh tadabbur Surah Al-Mulk oleh Ustaz Asley Bin Josley, Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Islam.
Bertempat di Ar-Raudhah UHEI\@PTAR, sesi dimulakan tepat jam 8:30 pagi dan dihadiri oleh warga kampus yang tidak melepaskan peluang mengisi permulaan hari dengan pengisian rohani yang mendalam. Bacaan Ustaz Asley yang merdu dan penuh penghayatan telah menyentuh hati para hadirin, disusuli dengan perkongsian ringkas mengenai kelebihan dan hikmah Surah Al-Mulk sebagai pelindung daripada azab kubur serta sebagai amalan sunnah sebelum tidur.
Program ini merupakan antara usaha berterusan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dalam menyemarakkan semangat Ramadan serta membudayakan amalan membaca dan memahami Al-Quran di kalangan warga universiti.
Siri-siri seterusnya bagi Live Berkah Pagi Ramadan akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan dengan pelbagai surah pilihan dan pengisian yang membina jiwa serta mendidik hati menuju Ramadan yang lebih bermakna.