Shah Alam, 19 April 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima penghormatan besar daripada tokoh kesusasteraan negara apabila Sasterawan Negara, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh, menghadiahkan tiga naskhah berharga daripada koleksi peribadi beliau.
Dua naskhah eksklusif tersebut diserahkan khas kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), simbol pengiktirafan terhadap peranan pustakawan dan institusi ini dalam mendukung dan memelihara warisan kesusasteraan negara. Manakala satu lagi naskhah diberikan kepada Naib Canselor UiTM sebagai penghargaan terhadap komitmen kepimpinan universiti dalam mengangkat nilai budaya dan ilmu.
Penyerahan naskhah-naskhah bersejarah ini berlangsung secara sederhana namun penuh simbolik di kediaman YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad lewat malam tadi. Dalam pesanan ringkas yang menyentuh hati, beliau berkata, “Terima kasih UiTM kerana mengangkat dan menghargai Sasterawan Negara.”
Perpustakaan Tun Abdul Razak yang menjadi nadi pengurusan ilmu di UiTM kini menyimpan dua naskhah eksklusif tersebut, yang akan dijadikan koleksi istimewa untuk tatapan dan rujukan generasi masa depan. Ini bukan sahaja satu penghormatan kepada institusi, malah satu langkah penting dalam usaha mendekatkan mahasiswa dan masyarakat kepada khazanah sastera Melayu.
Warga UiTM, khususnya warga PTAR, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan doa buat YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh agar beliau terus dikurniakan kesihatan, ketenangan dan keberkatan. Sumbangan ini akan menjadi sumber inspirasi berterusan dalam memperkukuh budaya ilmu dan kesusasteraan di universiti.