Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Hari Ketiga Festival Budaya Ilmu 2025: Meriah dengan Intelektual Strategik, AI & Aspirasi Mahasiswa

Shah Alam, 19 April 2025Festival Budaya Ilmu 2025 menutup tirainya dengan penuh warna-warni dan berjiwa ilmu di Dewan Mawar Qaseh, menandakan berakhirnya tiga hari yang padat dengan wacana ilmiah, sastera, teknologi dan aspirasi belia. Hari terakhir festival terus menyemarakkan semangat cintakan ilmu menerusi sesi-sesi menarik yang melibatkan tokoh akademik, penulis prolifik dan pemimpin pelajar.

Pagi dimulakan dengan satu sesi unik yang mengetengahkan budaya permainan tempatan menerusi tajuk “Ilmu Permainan Catur Melayu bagi Merangsang Pemikiran Strategik” oleh YBrs. Dr. Hasanuddin bin Yusof, yang menekankan potensi permainan tradisional dalam membentuk kebolehan berfikir secara kritis, merancang langkah dan mengambil keputusan bijak dalam kehidupan seharian. Sesi ini dimoderatorkan oleh Encik Amir Khusyairi bin Mohamad Tanusi dan mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan pensyarah.

Ilmu Permainan Catur Melayu bagi Merangsang Pemikiran Strategik
YBrs. Dr. Hasanuddin bin Yusof

Kemudian, peminat buku diberi peluang mendalami sisi peribadi kehidupan menerusi Sembang Buku: Senaskhah Hidup bersama penulis Azzah A. R., yang memukau peserta dengan naratif penuh nilai, pengalaman dan refleksi diri. Sesi ini dimoderatorkan oleh Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli, yang berjaya membuka ruang perbincangan bermakna tentang kekuatan melalui penulisan dan pengalaman hidup.

Sembang Buku : Senaskhah Hidup
Penulis: Azzah A. R.

Menjelang petang, fokus forum berganjak ke arah teknologi dan masa hadapan. Sesi bertajuk “Pembudayaan Ilmu Menggunakan AI” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Nurulhuda Firdaus Binti Mohd. Azmi, Ketua Jabatan Kecerdasan Informatik, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memperlihatkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan boleh menjadi alat penting dalam memperkasa pembelajaran dan penyebaran ilmu secara lebih efektif, inklusif dan peribadi.

Pembudayaan Ilmu menggunakan AI
YBrs. Dr. Nurulhuda Firdaus Binti Mohd. Azmi, Ketua Jabatan Kecerdasan Informatik, Faculty of Artificial Intelligence Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Festival disimpulkan dengan penuh semangat belia menerusi sesi Sembang Ilmu: Ilmu Bukan Sekadar di Kelas yang dikendalikan oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam. Sesi ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan tentang penghayatan ilmu dalam konteks kehidupan kampus, komuniti dan tanggungjawab sosial. Ia membuktikan bahawa budaya ilmu bukan sahaja tugas pensyarah, malah merupakan amanah bersama untuk dibentuk dan diperkasa.

Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam

Dengan berakhirnya hari ketiga, pihak Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan Festival Budaya Ilmu 2025 – termasuk rakan kolaborasi, sukarelawan perpustakaan, kelab dan persatuan UiTM, alumni, pihak sekolah, komuniti serta semua tetamu jemputan.

Festival kali ini bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan pemikiran, tetapi juga simbol perpaduan dalam membina masyarakat berilmu, berbudaya dan berintegriti. Ia membuktikan bahawa ilmu itu milik semua – dari pelajar hingga profesor, dari warisan tradisi hingga teknologi moden, dari bilik kuliah hingga ruang maya.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.