25 Mac 2025 - Pihak Perpustakaan Sultan Badlishah telah mengambil bahagian dalam program World #QuranHour yang dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia, yang berlangsung dari jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 tengah hari. Program ini disambut dengan penuh keberkatan di Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) melalui dua platform – secara fizikal di Ruang Library Community Engagement (LCE) PSB dan secara maya menerusi siaran langsung di saluran YouTube rasmi perpustakaan.
Bacaan Al-Quran serta tadabbur yang dijalankan pada sesi tersebut telah dibimbing oleh Al-Fadhil Ustaz Azrul Iswan Abdull Raman, Pegawai Eksekutif Kanan Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Kedah. Ustaz Azrul Iswan menyampaikan bacaan dengan penuh khusyuk, memberi ruang kepada peserta untuk merenungi dan menghayati setiap ayat Al-Quran yang dibacakan. Sesi tadabbur juga dijalankan sejurus selesai sesi bacaan tersebut bagi memberi kefahaman kepada para peserta dengan tujuan dapat meningkatkan kesedaran serta semangat masyarakat dalam memperkukuh hubungan dengan Al-Quran, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Dengan adanya inisiatif ini, diharapkan lebih ramai individu dapat menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dalam kehidupan seharian.
Pihak Perpustakaan Sultan Badlishah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah hadir, baik secara fizikal mahupun secara maya, dalam menjayakan program ini.